PAS sambut baik penjelasan Azam Baki

0
2

PAS menyambut baik langkah Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang secara terbuka memberi penjelasan berhubung tuduhan beberapa pihak termasuk agensi media dan portal bebas berkaitan dakwaan isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata langkah tersebut amat tepat kerana ia berkaitan dengan integriti SPRM sebagai sebuah badan penguatkuasa pencegahan rasuah yang utama di negara ini.

“Kenyataan terbuka Ketua Pesuruhjaya SPRM yang berupa penafian terhadap tuduhan berkenaan diharap dapat menghentikan tindakan beberapa pihak yang kelihatan sengaja membangkitkan isu seumpamanya bagi menimbulkan keraguan rakyat.

“Ini sekali gus untuk menggugat kestabilan negara di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dengan ini juga, beban pembuktian terletak ke atas pihak yang terus membuat dakwaan serupa bagi membuktikan segala tuduhan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM berasas, sekiranya tidak ia adalah sekadar tuduhan melulu,” katanya menerusi kenyataan.

Takiyuddin berkata PAS yakin pihak berkuasa akan meneliti kenyataan tersebut dan menilai serta seterusnya mengambil tindakan yang adil kepada semua pihak berdasarkan fakta dan undang-undang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here