JIM bongkar kegiatan pelacuran wanita Afrika

0
1

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan pelacuran melibatkan wanita warga Afrika susulan serbuan di sebuah pangsapuri servis di Bukit Bintang, lewat malam tadi.

Serbuan jam 11 malam itu menahan enam wanita iaitu masing-masing empat warga Tanzania dan dua warga Uganda berusia lingkungan 20-an.

Turut ditahan, empat pelanggan masing-masing tiga lelaki warga Afrika dan seorang warga tempatan berusia lingkungan 30-an, lapor Kosmo!

Difahamkan sindiket pelacuran itu yang beroperasi sekitar Lembah Klang sejak setahun lalu, menggunakan modus operandi berpindah randah selain khidmat ditawarkan eksklusif untuk pelanggan tetap bagi mengelak kegiatan dihidu pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud yang mengetuai operasi itu berkata operasi JIM kali ini unik kerana belum pernah lagi tangkapan melibatkan pelacur warga Afrika.

“Sepanjang tiga tahun saya menjadi Ketua Pengarah Imigresen, ini kali pertama
warga Afrika dikesan terbabit dalam aktiviti pelacuran dan kebiasaannya mereka banyak terlibat dalam aktiviti penipuan (scam).

“Siasatan awal mendapati, lima daripada mereka memiliki pas belajar yang sah manakala seorang lagi menggunakan pas lawatan sosial,” katanya selepas serbuan.

Menurutnya, kegiatan tidak bermoral itu dikesan mula beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dan menawarkan bayaran antara RM500 hingga RM600 satu malam selain mampu meraih sehingga RM7,000 sebulan.

Beliau berkata sindiket pelacuran wanita Afrika itu menggunakan aplikasi WeChat bagi mencari pelanggan dan mereka hanya menawarkan khidmat seks kepada pelanggan tetap.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15/1 (c) Akta Imigresen 1963 dan semuanya yang ditahan direman 14 hari untuk siasatan sebelum ditempatkan di depoh tahanan untuk diusir ke negara asal. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here