SERAMAI 39,255 atau 79.5 peratus ketua isi rumah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000, setakat jam 1 tengah hari tadi.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi Twitter miliknya sebentar tadi.
Sehubungan itu, beliau meminta mereka yang masih belum mendaftar segera menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pegawai Daerah untuk bantuan segera Kerajaan Persekutuan.
Sebelum itu, setakat 27 Disember lalu, kerajaan telah memperuntukkan RM34 juta BWI untuk disalurkan kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri-negeri yang terjejas banjir.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, jumlah anggaran itu adalah berdasarkan maklumat ketua isi rumah yang berdaftar di Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Justeru, katanya, usaha mengenalpasti mangsa yang tidak berdaftar giat dilaksanakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan BWI dapat disalurkan segera.
Pada masa sama, BWI sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah dan RM10,000 kepada waris mangsa bencana yang meninggal dunia telah disalurkan kepada pihak negeri.
Bantuan diselaraskan di peringkat PKOB dengan kerjasama ICU melalui tiga kaedah iaitu serahan tunai di PKOB atau serahan tunai rumah ke rumah serta pemindahan tunai secara atas talian (EFT). – Malaysiapost

