Jangan anggap KWSP hab wang tunai – SPCAAM

0
3

KERAJAAN tidak boleh menganggap Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai hab wang tunai dan membenarkan pengeluaran secara berterusan atas nama rangsangan ekonomi, kata Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM).

Menurut Setiausaha Agungnya, A Karuna kerajaan perlu menyedari untuk membasmi kemiskinan dan mencapai masa depan lebih mampan bagi semua pekerja, ia mesti memastikan bahawa perlindungan sosial adalah keutamaan sosial, ekonomi dan politik.

“Seperti dinyatakan Persidangan Buruh Antarabangsa (ILO), peranan organisasi pekerja dalam tadbir urus tiga pihak mesti diberi lebih penekanan dalam dasar pembangunan kerajaan dan ia harus diamalkan.

“Penekanan ILO terhadap gabungan tindakan dan yang diselaraskan dalam tujuh bidang berada dalam kedudukan terbaik untuk diamalkan.

“Ia terdiri daripada menggalakkan penciptaan pekerjaan; memupuk peluang yang sama; memastikan perlindungan yang mencukupi untuk semua; mempercepatkan peralihan kepada formaliti; memastikan kesaksamaan jantina dan tanpa diskriminasi.

“Selain itu menggalakkan kesaksamaan, kepelbagaian dan keterangkuman; merealisasikan perlindungan sosial sejagat dan menggalakkan perdagangan dan pembangunan bagi globalisasi yang adil dan kemakmuran bersama,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, walaupun Ketua Pengarah ILO, Guy Ryder menyatakan bahawa Persidangan telah menghasilkan keputusan yang sangat substantif, hasilnya akan dapat dilihat dengan baik dalam pelaksanaan dan keputusannya.

“Jadi, ini perkara yang serius kerana kesemua rancangan kerajaan melibatkan pengurusan dana awam. Perlu ada langkah tadbir urus lebih ketat memastikan tidak akan berlaku penyelewengan atau salah laku yang melibatkan dana dan aset awam.

“Justeru SPCAAM menyeru wakil kerajaan, pekerja dan majikan di dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) agar mengkaji secara serius tindakan untuk mewujudkan pemulihan berpaksikan manusia daripada impak sosial dan ekonomi yang diakibatkan oleh pandemik Covid-19 secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Karuna menggesa kesatuan sekerja diberi peranan menyeluruh di bawah konsep sistem tadbir urus tiga pihak dalam pelaksanaan dasar pembangunan kerajaan bagi mengelak penyelewengan dan salah laku.

Beliau berkata kerajaan mahupun majikan kelihatan tidak berminat untuk terlibat dengan pemimpin kesatuan sekerja mengenai isu-isu utama ini.

“Isu-isunya adalah kerajaan mesti menyediakan rangka kerja institusi yang menggalakkan perundingan kolektif mengenai isu pembelajaran sepanjang hayat.

“Kedua, adalah satu kemestian bagi kesatuan sekerja dan majikan untuk menyertakannya dalam agenda tawar-menawar mereka.

“Oleh itu, tanggungjawab terletak di pihak kerajaan bagi memastikan dalam rancangan pembangunan mereka, majikan wajib menyediakan sumber diperlukan untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja supaya mereka kekal relevan dalam pasaran buruh,” katanya. — Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here