PRN Sabah: 16,877 pengundi awal mengundi esok

0
2

SERAMAI 16,877 pengundi  awal akan mengundi di 55 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16, yang akan dibuka bermula jam 8 pagi esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak, berkata ia merangkumi 7,487 anggota tentera dan 9,390 anggota polis di seluruh negeri.

Katanya, proses pengundian awal itu menekankan pematuhan kepada garis panduan pencegahan atau prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19 yang ditetapkan.

“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan Covid-19 yang berkuatkuasa seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka separuh, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan.

“Proses pengundian awal akan disaksikan ejen calon dan Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik oleh SPR.

“Di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara langsung menerusi laman Facebook SPR,” katanya.

Beliau berkata, semua peti undi bagi pengundian awal itu akan disimpan di lokap balai polis yang terbabit.

“Kertas undi hanya akan dikira pada 26 September 2020 bermula jam 4 petang.

“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi ditetapkan SPR dan urusan pengiraan akan disaksikan oleh ejen calon masing-masing,” katanya.

SPR sebelum ini menetapkan 12 September sebagai tarikh penamaan calon PRN Sabah Ke-16, diikuti pengundian awal pada 22 September dan pengundian biasa pada 26 September. – Malaysiapost