ATLET terjun negara, Pandelela Rinong mengakui bahawa bekas rakan segandingannya, Leong Mun Yee sebagai ‘ahli keluarga’ penting dalam pasukan terjun Malaysia.
Menerusi hantaran Facebooknya, Pandelela berkata, bekas rakan sepasukannya itu adalah seorang individu yang positif dan saling menyokong antara satu sama lain sejak digandingkan pada 2009.
“Seorang senior dan ahli keluarga yang penting dalam pasukan terjun Malaysia.
“Walaupun usia kita dibezakan sembilan tahun, kamu dan saya adalah rakan pasukan yang yang positif, saling menyokong antara satu sama lain, dan rakan yang boleh dipercayai sejak kita digandingkan bersama pada 2009,” tulisnya dalam hantaran itu.
Pandelela berkata, mereka sudah melalui banyak perkara bersama dan sudah melalui banyak cubaan namun dia bersyukur kerana mereka sentiasa memilih laluan yang tepat.
“Satu perkara yang saya paling hormati mengenai kamu adalah walau sesiapapun yang melatih kamu, kamu sentiasa boleh menyesuaikan diri dan membuka ruang untuk perubahan,” katanya.
Terdahulu, Mun Yee, 37, mengumumkan persaraannya apabila kontraknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) berakhir, Sabtu lalu selepas 27 tahun berkecimpung dalam arena terjun.
Antara pencapaian terbaik Pandelela dan Mun Yee ialah meraih perak (10m paltform seirama) di Kejohanan Dunia 2019 dan mereka juga pernah meraih gangsa di kejohanan sama pada 2009 dan 2013. – Malaysiapost

