Omicron dikesan di Sabah

0
2

SABAH melaporkan kes pertama Covid-19 varian Omicron yang dikesan di daerah Tawau. 

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, ia melibatkan kes import apabila seorang warganegara  pulang dari menunaikan umrah di Arab Saudi pada 9 hingga 18 Disember lalu.

Menurutnya, lelaki itu kembali ke Malaysia pada 19 Disember melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tiba di Tawau bersama isterinya pada 20 Disember lalu.

“Setibanya di Tawau, pesakit dan isteri diarah menjalani kuarantin di rumah dan keputusan ujian ‘whole genome sequencing’ pada 4 Januari lalu menunjukkan beliau positif varian Omicron.

“Isteri pesakit yang juga menjalani kuarantin pada masa sama dikesan positif Covid-19 melalui ujian PCR pada 24 Disember lalu. Keputusan ‘whole genome sequencing’ untuk isterinya masih dalam ujian di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR),” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi. 

Masidi berkata, kedua-dua pesakit itu sudah menerima vaksin lengkap awal Jun tahun lalu.

“Keadaan kedua-dua pesakit pada masa ini sihat. Ketika disahkan positif Covid-19, pesakit adalah kategori dua, manakala isterinya kategori satu.

“Mereka berdua sudah selesai menjalani kuarantin pada 1 Januari dan pulih daripada jangkitan virus berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here