54 korban banjir keseluruhan, 2 masih hilang

0
1

JUMLAH korban bencana banjir yang melanda negara sejak 18 Disember lalu adalah seramai 54 kematian dan dua lagi dilaporkan masih hilang setakat hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali, berkata Selangor mencatatkan kematian tertinggi iaitu 25 orang, diikuti Pahang (21), Kelantan (empat), Sabah (tiga) dan seorang di Negeri Sembilan.

Menurutnya, situasi semasa laporan banjir daripada kesemua Pusat Kawalan Kontinjen pula mendapati seramai 13,322 mangsa di seluruh negara telah direkodkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

“Tujuh negeri terlibat banjir dan sejumlah 172 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif,” katanya ketika sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Saani Abdullah Sani mengarahkan JKDNKA menyelaras bantuan meliputi jalan udara serta air bagi memastikan kebajikan penduduk terjejas banjir kekal terpelihara.

Sementara itu, mengenai situasi banjir di Segamat, Johor, Hazani berkata, empat kampung di daerah berkenaan telah terputus jalan utama akibat dinaiki air, namun keadaan masih terkawal.

Menurutnya, empat perkampungan berkenaan adalah Kampung Lubuk Lanjut, Kampung Batu 10, Kampung Budu dan Kampung Spang Loi.

“Keadaan di Segamat masih dalam kawalan. Misi memberi bantuan masih kami teruskan dengan menggunakan sebuah helikopter yang telah diatur gerak bagi membantu mangsa banjir di perkampungan yang terjejas,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here