PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta pasukan keselamatan tidak berkompromi terhadap isu keselamatan, terutama menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Beliau berkata, sebagai langkah keselamatan kawasan sempadan perlu dikawal ketat bagi mengekang sebarang cubaan masuk secara haram oleh pihak asing.
“Jika benar khabar angin yang mendakwa kehadiran mereka (kumpulan warga asing) secara besar-besaran yang bertujuan membuat huru-hara, maka pihak keselamatan jangan bertolak ansur.
“Kita tahu yang Filipina dengan sentimennya masih mahu menuntut Sabah walaupun pada hakikatnya negeri ini adalah milik Malaysia,” katanya kepada media selepas perjumpaan bersama jentera BN di Bandar Sri Indah, Tawau, malam tadi,
Beliau mengulas kenyataaan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkaitan maklumat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didakwa mahu membuat kekacauan pada PRN Sabah kali ini.
Terdahulu, Bung Moktar dalam ucapannya menegaskan kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang meminta kerajaan Persekututan berunding dengan Filipina mengundang kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Dia (Shafie) ini mesra Filipina. Saya tidak tahu kenapa dia begini. Soal keselamatan, kedaulatan negara dan negeri mana boleh di runding dan kita memang bantah.
“Sebab itu juga, kita memberi jaminan, dalam ‘Aku Janji’ dilancarkan baru-baru ini, kerjaan tidak akan iktiraf sebarang tuntutan mana-mana pihak terhadap Sabah.
“Kita tidak akan biarkan satu inci pun bumi Sabah dimiliki oleh negara luar. Tidak ada runding-runding, ini negeri kita yang merdeka di dalam Malaysia,” tegasnya.
Terdahulu perjumpaan dihadiri kira-kira 200 anggota jentera dan penyokong calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Kukusan dan Tanjung Batu itu hanya berlangsung 40 minit berikutan arahan pihak keselamatan yang memberi kebenaran program diadakan sehingga jam 10 malam.
Ia susulan peningkatan kes positif Covid-19 di daerah Tawau. – Malaysiapost

