Tubuh Jawatankuasa Bebas siasat tohmahan terhadap Azam Baki – Ibrahim Ali

0
2

PENJELASAN Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, hari ini berhubung isu pemilikan sejumlah saham tidak boleh diterima, tegas Presiden Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (Putra) Datuk Ibrahim Ali.

Menurutnya, alasan diberikan iaitu adiknya, Nasir menggunakan akaunnya untuk membeli saham dan saham itu sudah dipindahkan kembali ke nama adiknya adalah tidak menyelesaikan isu tohmahan berkenaan.

Beliau turut menemplak kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang yang berpuas hati dengan penjelasan itu.

“Hebat betul seorang abang begitu baik dan terpuji demi membantu kehendak adiknya. Mudahnya cara membeli saham. Adik atau abang yang ada jawatan penting dalam kerajaan, boleh beri pinjam akaun dan nama kerana tidak timbul masaalah ‘conflict of interest’.

“Adik-beradik Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar atau Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah, semua boleh bagi pinjam akuan untuk adik beradik beli saham.

“Kenapa tidak di maklum dari awal bagi mendapat kebenaran pihak atasan?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, banyak persoalan lain yang perlu dijelaskan termasuk dari mana sumber duit untuk membeli saham berkenaan.

“Tak selesai masalah dengan penjelasan hari. Yang terbaik kerajaan kena segera tubuh Jawatankuasa Bebas bagi menyiasat isu ini dengan segera.

“Ketua Pengarah SPRM ini juga hendaklah segera bercuti bagi memudahkan siasatan di jalankan.Apa yg susah sangat dan khuatirkan kalau semua ‘clear’ dan bersih.Jadilah ‘anak jantan’ yang terbilang..jangan jadi macam orang politik.

“Tunjuk tauladan terbilang.Ini sahaja cara memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap agensi SPRM.Takut apa?” katanya.

Ibrahim berpendapat isu berkenaan juga adalah ujian kepada kerajaan untuk membuktikan tanggungjawabnya yang bukan hanya retorik.

Terdahulu LPPR dilaporkan berpuas hati dengan penjelasan Azam, hari ini yang mengakui tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pemilikan saham yang didakwa miliknya itu.

Azam dipanggil pada 24 November lalu untuk mendapatkan penjelasan kepada LPPR mengenai isu yang tular di media sosial dan menimbulkan persepsi negatif terhadap SPRM.

Beliau menjelaskan adiknya, Nasir menggunakan akaunnya untuk membeli saham berkenaan pada 2015 dan tidak mempunyai sebarang kepentingan bagi pembelian mahu pun pemilikan saham berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here