‘Jangan sebar perkara tidak sahih’ – Nora

0
2

PENYANYI, Datuk Nora Ariffin memohon orang ramai supaya tidak mudah menyebarkan perkara yang tidak pasti kesahihannya, kerana ia boleh menimbulkan fitnah dan kesan buruk kepada individu itu.

Pendapat itu disuarakan Nora di Instagramnya, susulan kejadian pemandu lori warga emas yang dituduh mabuk selepas merempuh tiga kenderaan.

“Salam takziah buat keluarga pakcik ini. Maaf, saya terpanggil untuk komen kes ini secara umum. Peringatan untuk saya dan kita semua. 

“Semoga kes ini dan lain-lain, sama-sama kita jadikan iktibar. Jangan mudah sebarkan sesuatu yang kita tidak pasti,” tulisnya.

Nora berkata, dia tahu bagaimana rasanya apabila menjadi mangsa fitnah kerana dia juga pernah melaluinya.

Tegasnya, lebih baik diam diri, bersangka baik dari sebarkan perkara yang tidak benar.

“Apapun yang kita andaikan, kita rasa, biarlah kita simpan sahaja. Jangan sebarkan sesuatu yang tidak sahih. 

“Salah atau tidak, itu bukan hak kita untuk menilainya. Cubalah bersangka baik. Sekiranya kita tidak sengaja melakukan kesilapan, segera mohon maaf,” katanya.

Dalam pada itu, Nora berkata, situasi berkenaan adalah sama seperti kes yang pernah dihadapinya.

“Selepas bersemuka, akhirnya terjawab segalanya adalah fitnah semata-mata. Alhamdulillah, selesai. Allah SWT lebih mengetahui,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video seorang pemandu treler dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian tempat duduk pemandu selepas terbabit kemalangan dan seorang wanita dalam nada marah menuduhnya mabuk ketika memandu.

Bagaimanapun, lelaki yang dikenali sebagai Pakcik Shukri itu dikatakan terkena serangan jantung ketika memandu dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here