Wirawati Putra sokong PeKT ditutup

0
2

WIRAWATI PUTRA menyokong sepenuhnya keputusan kerajaan berhubung penamatan khidmat anggota Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) yang berakhir di seluruh negara mulai hari ini, lebih awal berbanding penggal yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2022.

Naib Ketuanya, Nurhafizah Jamalludin berkata, keputusan yang dibuat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu amat baik kerana lebih menumpukan kebajikan rakyat daripada politik.

Katanya, negara kini berhadapan cabaran luar jangka dengan terjadinya fenomena seperti penularan wabak Covid-19 dan bencana banjir yang telah berlaku baru-baru ini di beberapa buah negeri sehingga meragut nyawa dan kemusnahan harta benda.

“Jadi, eloklah jika penyaluran peruntukan kerajaan bagi tahun 2022 lebih tertumpu kepada sektor-sektor yang lebih kritikal dan lebih menyeluruh untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan keadaan ini, bukannya dibazirkan kepada pihak tertentu demi menjaga hubungan politik peribadi.

“Dalam Belanjawan 2022, telah diluluskan sebanyak RM8.57 juta diperuntukkan kepada PeKT. Adalah baiknya jika peruntukkan tersebut disalurkan kepada sektor-sektor kritikal yang memelukan modal untuk membaik pulih ekonomi rakyat dan negara.

“Jangan dibazirkan wang negara untuk melindungi aktiviti atau kumpulan tertentu yang bersifat ekslusif semata-mata. Ini jelas menunjukkan salah guna kuasa dan perbuatan yang tidak bermoral jika ia dibiar begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menggesa semua kementerian untuk meneliti agensi atau badan yang ditubuhkan tidak lagi relevan seperti PeKT dengan keperluan semasa untuk ditamatkan atau disatukan bersama mana-mana agensi yang bersesuaian bagi mengurangkan kos.

“Dan peruntukan itu dihalakan kepada agensi yang memerlukan. Sesuatu inisiatif kerajaan yang diwujudkan wajib bersifat inklusif.

“Lebih-lebih lagi jika ia dilihat sebagai alat penyaluran dana bagi menjaga kepentingan politik individu tertentu ia perlu dihentikan segera.

“Justeru, Wirawati Putra juga memberi teguran, jangan pula KPKT seperti ‘Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi’.

“Berilah khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negara dalam situasi negara yang ditimpa musibah ketika ini. Jadilah ‘Bahu’ yang boleh disandarkan oleh rakyat dalam suasana duka dan hiba ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here