MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) merakamkan penghargaan kepada kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui Emirates Red Cresent atas sumbangan kepada mangsa banjir di Shah Alam.
Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Misi, Kedutaan UAE, Miss Nouf Alkuwaiti kepada Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor.

MBSA menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya menerima 9,600 barangan sumbangan berupa barangan kering dan kit pembersihan.
“Antara barangan makanan kering yang disumbangkan adalah beras (10kg), minyak masak (5kg), tepung gandum, gula, garam, susu tepung, biskut dan sebagainya.
“Sumbangan yang diterima juga dalam bentuk kit pembersihan untuk kegunaan mangsa banjir seperti ubat dan berus gigi, cecair pencuci tangan, tuala wanita, dan pelbagai lagi barangan,” kata MBSA.
Menurutnya lagi, sumbangan barangan daripada Emirates Red Cresent akan diedar kepada mangsa banjir di Shah Alam khususnya di Taman Sri Muda yang terjejas teruk.
“Pihak MBSA amat menghargai sumbangan yang diberikan kerajaan UAE melalui Emirates Red Cresent dan diharap ia meringankan beban mangsa yang terkesan akibat banjir di kawasan Shah Alam,” katanya. – Malaysiapost

