Selesai segera longgokan sampah di kawasan banjir

0
2
Sisa-sisa banjir di Shah Alam diangkut dan dipindahkan ke Pusat Transit Sisa-sisa Banjir di Seksyen 34 sebelum di bawa ke tempat pelupusan Selangor.

KERAJAAN Selangor digesa mengambil tindakan segera membersih dan menguruskan longgokan sampah di kawasan bencana banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Selangor, Datuk Ng Chok Sin berkata sudah 10 hari berlalu sejak Selangor ditimpa musibah banjir dan mangsa juga telah pulang ke kediaman masing-masing untuk kerja pembersihan serta berusaha untuk kembali menjalani kehidupan harian.

Namun, beliau berkata longgokan sampah di kawasan bencana masih belum dibersihkan sepenuhnya dan ini mencetus kebimbangan orang ramai apabila ia berupaya menjadi punca penyebaran wabak penyakit.

Katanya, sikap leka kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah itu menyebabkan orang ramai membuat perbandingan antara kerajaan negeri dengan sukarelawan yang telah turun padang membantu.

Ini kerana menurutnya, ramai mendakwa para sukarelawan lebih prihatin terhadap kesusahan mangsa banjir berbanding kerajaan negeri.

“Ini kerana pada masa krisis banjir ini berlaku, ramai sukarelawan dari pertubuhan bukan kerajaan, termasuk Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) tampil ke hadapan untuk menghulur bantuan dalam pelbagai bentuk.

“Susulan itu, kerajaan negeri dinasihat tidak mengharapkan sepenuhnya kepada usaha sukarelawan untuk membantu mangsa banjir.

“Sebaliknya perlu memainkan peranan dengan mengurus dan menyelaras sumber yang ada untuk menyelesaikan masalah longgokan sampah sarap di kawasan bencana,” katanya menerusi kenyataan.

Chok Sin berkata kerajaan Selangor juga disaran berhenti memberi pelbagai alasan atas tindakan mereka yang lambat bertindak.

“Oleh itu, pihak kerajaan negeri wajar menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik sepertimana yang diamanahkan oleh penduduk Selangor menerusi mandat yang diberikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here