SEBANYAK 895 lokasi jalan, jambatan dan cerun terjejas akibat bencana di seluruh Semenanjung sejak 18 Disember lalu.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi Twitter miliknya sebentar tadi, selepas membuat tinjauan di pemasangan Jambatan Compact Bailey di Batu 19, Jalan Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.
“Sebanyak 895 lokasi jalan, jambatan dan cerun terjejas akibat bencana di seluruh Semenanjung sejak 18 Disember 2021 hingga ke hari ini.
“Petang ini sempat meninjau pemasangan siap Jambatan Compact Bailey di Batu 19, Jalan Sungai Lui, Hulu Langat,” katanya.
Sementara itu dalam hantaran berasingan di Facebooknya, Fadillah berkata, kerja-kerja pemasangan komponen jambatan berukuran 18 meter panjang dengan kelebaran 9 meter itu, telah dimulakan oleh Pasukan Jambatan Bailey JKR Petaling pada jam 3 petang pada Sabtu dan siap jam 5 pagi, semalam.
“Kerja-kerja pemasangan komponen Jambatan Bailey di Jalan Sungai Lui ini membabitkan 14 orang Ahli Pasukan Jambatan Bailey JKR Petaling dan 20 orang anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja. Manakala kerja-kerja abutment jambatan dilaksanakan oleh JKR Hulu Langat melalui kontraktor.
“Kerja-kerja pembinaan ramp dan premix jambatan ini akan dilaksanakan bermula pada hari ini dan dijangka akan disiapkan pada esok,” katanya.
Dalam banjir di daerah Hulu Langat pada 18 Disember lalu, jambatan asal merentasi Sungai Langat yang menghubungkan jalan utama dengan beberapa rumah penduduk telah runtuh dan menyebabkan penduduk di kawasan terbabit terputus hubungan. – Malaysiapost

