POLIS Sabah akan menggerakkan seluruh kekuatan pasukannya bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negeri itu terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali dalam sidang media di Kota Kinabalu berkata, langkah itu sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku kemasukan PATI secara besar-besaran ke Sabah.
Langkah itu katanya, diambil selepas polis mendapat maklumat berhubung kemasukan PATI secara besar-besaran dari negara jiran untuk membuat kekacauan di Sabah.
“Kita sedia maklum situasi peningkatan 100 peratus kes positif Covid-19 di negeri ini terutama dalam kalangan PATI di pantai timur Sabah.
“Saya juga sudah berhubung dengan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi menghalang kemasukan PATI ke pantai timur Sabah dan sempadan Sabah di Kalimantan.
“Semua aset di perairan kita juga akan digerakkan semaksimum mungkin bagi menjalankan rondaan di sempadan, selain menggabungkan kerjasama Ops Benteng bersama agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya.
Tegasnya, pasukan keselamatan akan berusaha menghalang kemasukan PATI bagi memastikan ketenteraman awam di Sabah dan kelancaran proses PRN.
Setakat ini kata Hazani, polis dan ATM giat menjalankan kawalan di 96 pos sempadan laut dan darat di pantai timur serta sempadan Kalimantan.
Tambahnya, polis juga menjalankan rondaan jarak dekat dan jauh bagi mengesan lorong tikus serta lorong gajah (laluan haram) di sepanjang sempadan negara yang digunakan PATI untuk menyusup masuk ke negeri itu.-Malaysiapost

