Banjir: ATM mula diatur gerak ke beberapa daerah di Johor

0
2

SEBAHAGIAN daripada satu batalion anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mula diaturgerak setelah beberapa daerah di Johor termasuk Tangkak, Segamat, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kluang dan Mersing mula dilanda banjir.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pergerakan pasukan ATM itu yang diletakkan dalam keadaan siapsiaga di setiap negeri bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pasukan bomba, polis dan setiap agensi berkaitan menerusi Operasi Murni (Ops Murni).

“Keutamaan di pihak ATM adalah memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat khususnya Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Mempercepatkan penghantaran makanan dan barang keperluan ke PPS dan kawasan terputus hubungan jalan darat serta pedalaman dan membantu proses penyediaan makanan di PPS yang dibuka setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, setakat jam 12 tengah hari tadi seramai 12 pegawai dan 184 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) telah berada di lapangan dan melakukan tugasan operasi di bawah Ops Murni di Johor.

“Sebanyak 31 aset telah diaturgerak ke kawasan terlibat termasuk tujuh unit bot; tujuh unit enjin bot; satu unit trak 7 tan; 14 unit trak 3 tan dan dua unit trak 1 tan.

“ATM sentiasa berkomunikasi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Meteorologi bagi mendapatkan maklumat terkini paras semasa sungai di seluruh Johor serta ramalan cuaca khususnya di sebelah Selatan Semenanjung,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata selain Johor, Ops Murni giat dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 60 pegawai dan 1,123 anggota LLP.

Katanya, sebanyak 190 aset ATM merangkumi bot; enjin bot; trak 7 tan; trak 3 tan; trak 1 tan; backhoe; tipper; water bowser dan ambulan medan juga digerakkan di bawah Ops Murni di seluruh negara.

Jelasnya, seperti yang dimaklumkan beliau sebelum ini, perancangan Ops Murni akan dikemaskini dari semasa ke semasa mengikut situasi banjir di sesebuah negeri dan sesuatu kawasan.

“Sejajar semangat “Tentera Dan Rakyat Berpisah Tiada”, ATM terus bertungkus-lumus bukan sahaja demi keselamatan rakyat di musim banjir malah membantu pelaksanaan kerja pembersihan pasca banjir sebaik sahaja air surut kelak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here