KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi agensinya Arkib Negara Malaysia (ANM) telah menggerakkan Pasukan Tindakan Bencana Rekod bagi membantu pejabat kerajaan menyelamatkan dokumen yang terjejas akibat banjir.
Antara langkah dijalankan adalah dengan memberi khidmat nasihat bagi menyelamatkan rekod yang terlibat serta menjalankan kerja-kerja pemuliharaan rekod yang terjejas.
Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat yang hadir tinjauan Ops Penyelamatan Rekod Pasca Bencana di Pusat Pengurusan Rekod (RMC), Jabatan Imigresen berkata, tumpuan khusus diberi kepada dua negeri yang terjejas teruk iaitu Selangor dan Pahang.
Sehingga kini katanya, pihak ANM telah mengadakan lawatan khidmat nasihat dan bantuan pemuliharaan rekod yang terjejas banjir kepada lebih 50 jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Antara organisasi terkesan dengan banjir kali ini adalah Jabatan Pertanian; Jabatan Kerja Raya; Jabatan Pengairan dan Saliran; Pejabat Kesihatan; Klinik Kesihatan; Hotel De Palma; PERKESO; TM Point; Bank Simpanan Nasional dan Amanah Saham Nasional Berhad.
“Jumlah rekod yang terlibat dalam banjir dianggarkan melebihi 10 juta. Sebahagian besar rekod ini masih boleh diselamatkan dengan menjalankan kerja-kerja pemuliharaan,” katanya.
Beliau berkata proses penyelamatan dokumen dibuat melalui kaedah pengasingan, pembersihan dan pengeringan menggunakan peralatan tertentu serta bersesuaian dengan rekod yang terlibat.
Katanya, antara rekod yang telah dikenalpasti terjejas dalam banjir kali ini termasuklah buku rekod peribadi pesakit, rekod kewangan dan perakaunan jabatan, buku perancangan pembelajaran guru, rekod permohonan kemasukan dan borang permohonan Pasport Malaysia, dokumen kontrak, tender, peta, pelan bangunan, mikrofilem dan filem X-ray.
“Usaha-usaha dijalankan Arkib Negara Malaysia ini dapat membantu pejabat kerajaan menyelamatkan rekod-rekod yang bernilai kepada negara. Rekod yang diselamatkan ini penting bagi meneruskan operasi dan aktiviti selepas bencana banjir,” katanya. – Malaysiapost

