DUA menteri daripada Bersatu dilaporkan akan digugurkan daripada Kabinet kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Laporan menyebut kedua-dua pemimpin itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Memetik laporan portal Suara TV, Ismail Sabri dilaporkan mengadakan perbincangan dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan rombakan Kabinet melibatkan dua menteri daripada parti tersebut.
Tanpa memetik sebarang sumber, portal tersebut melaporkan Perdana Menteri dikatakan tidak berpuas hati dengan Abd Latiff yang didakwa gagal memainkan peranan berkesan semasa banjir.
Baru-baru ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di bawah potfolio Abd Latiff dikritik hebat hingga beliau didesak letak jawatan kerana dikatakan gagal menguruskan hal ehwal banjir.
Susulan itu Abd Latiff dilaporkan berkata beliau tiada masalah untuk meletakkan jawatan namun mempersolkan adakah ia akan menyelesaikan masalah.
“Bubar (Nadma) boleh, saya setuju. Saya letak jawatan (pun) boleh. Saya sudah enam penggal (jadi wakil rakyat). Tiada masalah. Tapi apakah solusinya?” katanya.
Selain Abd Latiff, Rina turut berdepan kontroversi susulan video tular menampakkan beliau seolah-olah berlakon membersihkan lantai simen di sebuah sekolah yang telah bersih.
Sementara itu portal sama melaporkan, turut dijangka digugurkan ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dari Umno.
Beliau turut berdepan kontroversi berhubung penjelasannya kepada Ahli Parlimen mengenai agihan peruntukan RM100 juta Unit Transfomasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Sementara itu sumber memberitahu Malaysiapost, setakat ini laporan tersebut masih bersifat spekulasi dan ia lebih kepada peringatan kepada kementerian terbabit untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
Bagaimanapun, kata sumber itu sama ada berlaku rombakan Kabinet atau sebaliknya, ia adalah atas keputusan serta budi bicara Perdana Menteri.
Malaysiapost juga difahamkan, turut berada dalam senarai dipertimbangkan untuk digugurkan ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (Umno); Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS) serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dari GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Dua lagi menteri dari Bersatu yang disebut-sebut ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – Malaysiapost

