KPLB segerakan salur inisiatif bantuan mangsa banjir 

0
2

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB), mengambil serius untuk menyegerakan bantuan banjir Keluarga Malaysia berdasarkan inisiatif diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini. 

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata KPLB bersama lapan agensinya iaitu MARA, RISDA, FELCRA, KEJORA, KESEDAR, KETENGAH, KEDA dan PERDA sedia melaksanakan inisiatif bantuan Keluarga Malaysia pada kadar segera mengikut peruntukan sedia ada. 

“Ketika ini dalam fasa pasca banjir, KPLB dan semua agensi sedang melaksanakan kerja-kerja penilaian kerosakan yang dialami mangsa banjir selain menjalankan kerja-kerja pembersihan menerusi pasukan sukarelawan yang turun padang di Bentong, Hulu Langat dan Banting untuk membantu mangsa banjir. 

“Kita juga komited memastikan segala bantuan disalurkan segera bagi memastikan kebajikan dan keperluan mangsa banjir terutama di luar bandar terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mahdzir berkata, lebih 3,000 sukarelawan KPLB dan agensinya digerakkan bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah termasuk membaiki pendawaian dan barangan elektrik di Kawasan Angkat di Bukit Changgang, Banting, Huala Langat dan Kampung Karak Setia, Bentong, Pahang. 

Katanya, KPLB memperuntukkan RM4 juta dalam bentuk sumbangan barangan keperluan seperti bakul makanan dan kit pembersihan diri kepada mangsa banjir. 

“Bagi bantuan baik pulih rumah, KPLB menyediakan peruntukan RM15,000 bagi setiap rumah penduduk luar bandar yang layak menerima bantuan itu. 

“Manakala RM56,000 diperuntukkan bagi bantuan bina baharu rumah mangsa banjir yang kehilangan kediaman sepenuhnya. 

“Lima insentif pemberian tunai disediakan kerajaan Keluarga Malaysia seperti diumum Perdana Menteri, keseluruhannya mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah, malah mencapai sehingga RM61,000 bagi individu yang mengalami kemusnahan rumah,” katanya. 

Dalam pada itu, jelas Mahdzir, KPLB sedang mengumpul data di seluruh negeri yang terjejas banjir untuk pelan pembaikan dan peruntukan kos untuk perumahan rakyat termiskin, PPRT, jalan kampung, jalan perhubungan desa, jambatan, longkang surau, taska, tabika serta ameniti sosial yang lain di bawah seliaan KPLB. 

Selain itu, katanya MARA meringankan beban kewangan mangsa banjir dengan memberi kelonggaran penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran dan perniagaan selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas. 

“MARA juga tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan MARA yang terkesan dengan bencana banjir luar biasa yang melanda kali ini. 

“Bagi penyewa premis perniagaan MARA pula, pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung oleh penyewa. 

“KPLB berharap program bantuan menyeluruh ini akan melegakan kebimbangan terhadap komitmen kewangan di waktu yang sungguh mencabar ini sambil mengekalkan simpanan KWSP masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here