LELAKI warga emas menjadi korban pertama banjir di Negeri Sembilan, selepas dikatakan mengalami serangan jantung ketika meredah babjir untuk ke kandang ternakannya di Felda Sungai Kelamah, Gemas, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Rosli Roslan, 66, dikatakan pergi ke kandang ternakan lembu dan kambing miliknya berhampiran rumah yang dinaiki air susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, isteri mangsa yang melihat kejadian itu sempat menarik tangan suaminya itu ke kawasan lebih selamat.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun tiba-tiba terkena serangan jantung.
“Mangsa meninggal dunia sebelum dibawa anggota Rela yang berada di kawasan berhampiran ke kawasan yang lebih selamat.
“Mayat di bawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.
Sementara itu, penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Hafizah, 66, berkata mangsa tinggal di dalam ladang kelapa sawit bersama isterinya dan ketika kejadian kandang ternakannya dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter.
“Mangsa yang berjalan menuju ke kandang bagaimanapun tergelincir dan isterinya sempat memegang tangan mangsa.
“Ketika itu tetapi air terlalu deras sebelum datang seorang anggota Rela membawa mangsa ke kawasan selamat sebelum disahkan sudah meninggal dunia,” katanya. – Malaysiapost

