POLIS Diraja Malaysia (PDRM) serius dalam membanteras sindiket perjudian atas talian agar tidak beroperasi semula dan usaha secara berterusan sedang giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kerjasama dan tindakan bersepadu dilakukan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Jabatan Agama Islam dan badan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, kesemua pihak berkenaan mempunyai peranan penting masing-masing dalam menangani kegiatan jenayah berkenaan.
“PDRM amat komited dalam menangani kemelut judi di dalam negara dan memandang berat kenyataan pelbagai pihak yang mempertikaikan kesungguhan dab keberkesanan tindakan polis dalam mengekang gejala tersebut.
“Polis mengambil maklum segala pandangan disuarakan pelbagai pihak dan akan melipatgandakan lagi usaha untuk memastikan kemelut judi ini dapat dibendung dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai mesej yang tular mengatakan lambakan kedai judi online di Kuala Lumpur.
Abdul Jalil memaklumkan, sepanjang 2021, sebanyak 1,528 serbuan berjaya telah dijalankan di kontinjen Kuala Lumpur berbanding 779 serbuan berjaya bagi 2020.
Menurutnya, jumlah serbuan berjaya ini menunjukkan peningkatan sebanyak 749 serbuan atau 96 peratus.
“Bagi tempoh Januari hingga Disember 2021, seramai 2,933 orang telah ditangkap di bawah akta kesalahan berkait dengan judi online, calling center, judi loteri haram tanpa lesen, judi bookie dan judi di tempat bebas dalam bangunan.
“Manakala bagi 2020, seramai 2,051 orang telah ditahan di bawah akta yang sama, atas pelbagai kesalahan judi. secara keseluruhannya kejayaan tangkapan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 882 orang (bersamaan 43%),” katanya.
Beliau berkata, bagi rampasan wang tunai, jumlah yang berjaya dirampas oleh kontinjen Kuala Lumpur pada tahun 2021 adalah sebanyak RM1,128,544 berbanding pada tahun 2020 iaitu sebanyak RM637,563.
“Jumlah rampasan wang tunai juga menunjukkan peningkatan sebanyak RM490,981 (bersamaan 77%).
“Pada tahun 2021, sebanyak 1,528 kertas siasatan telah dibuka dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,142 telah berjaya dituduh (bersamaan 75%) berbanding pada tahun 2020 sebanyak 779 kertas siasatan dibuka dan sebanyak 561 telah dituduh (bersamaan 72%).
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 581 kes yang dituduh pada tahun 2021,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi tahun 2020, seramai 162 orang telah diambil tindakan pencegahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
“Manakala bagi tahun 2021, seramai 20 orang telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan yang sama,” katanya. – Malaysiapost

