Dana RM50 juta: Pemuda Umno PJ desak siasat Syed Saddiq

0
2

PEMUDA Umno Bahagian Petaling Jaya menggesa siasatan segera dijalankan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung dana sebanyak RM50 juta.

Wakilnya, Zulhemli Mansor, berkata jumlah RM50 juta yang diperuntukkan kepada Syed Saddiq semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan untuk membangunkan Youth Power Club di seluruh negara adalah jumlah yang besar kerana membabitkan wang rakyat.

“Malah, kehilangan wang tunai RM250,000 yang disimpan Syed Saddiq di kediamannya perlu dipandang serius, selain penemuan wang tunai RM600,000 di kediaman dua pemimpin Armada, Jun lalu.

“Kalau bukti sudah mencukupi, kita minta dia terus didakwa di mahkamah untuk kita tahu apa sebenarnya berlaku,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, siasatan segera itu perlu dilakukan bagi mengelak tanggapan buruk terhadap kerajaan dan dikhuatiri rakyat memandang kerajaan Perikatan Nasional (PN) sama seperti Pakatan Harapan (PH).

“Ini memberi gambaran seolah-olah Syed Saddiq kebal dengan tindakan undang-undang dan dilindungi oleh individu tertentu,” katanya. -Malaysiapost