Mangsa banjir kembali meningkat

0
2

JUMLAH mangsa banjir yang melanda tujuh negeri setakat ini adalah seramai 5,711 mangsa membabitkan 1,658 keluarga yang dipindahkan ke 86 pusat pemindahan sementara (PPS).

Berdasarkan data dikongsi di aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, setakat jam 2.30 petang hari ini beberapa negeri yang mengalami banjir sejak 18 Disember lalu dilanda gelombang kedua dengan beberapa PPS dibuka kembali.

Pahang mencatatkan peningkatan mangsa dengan 23 PPS mula dibuka hari ini membabitkan kawasan Raub, Lipis, Bera, Rompin dan Maran.

Secara keseluruhan jumlah mangsa banjir di Pahang setakat ini adalah 1,872 mangsa daripada 587 keluarga yang dipindahkan di 41 PPS setakat ini.

Negeri Sembilan yang kembali dilanda banjir merekodkan 1,384 mangsa daripada 335 keluarga membabitkan sembilan PPS yang dibuka hari ini di Jempol, Tampin dan Kuala Pilah, selain satu di Jelebu yang dibuka sejak 20 Disember lalu.

Sementara itu, dua negeri yang baru dilanda banjir adalah Johor dan Sabah dengan beberapa PPS mula dibuka sejak semalam.

Johor mencatatkan seramai 888 mangsa daripada 252 keluarga yang ditempatkan di 17 PPS di Segamat dan satu PPS di Tangkak, manakala Sabah membabitkan 343 mangsa daripada 117 keluarga di dua PPS di Kota Marudu.

Melaka turut kembali dilanda banjir dengan 467 mangsa daripada 127 keluarga dipindahkan ke empat PPS di Alor Gajah yang mula dibuka hari ini.

Di Kelantan seramai 339 mangsa daripada 118 keluarga dipindahkan di tujuh PPS yang dibuka sejak 30 Disember lalu di dua jajahan iaitu Jeli dan Kuala Krai.

Terengganu pula merekodkan 418 mangsa daripada 122 keluarga di empat PPS di Dungun yang dibuka sejak Khamis dan semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here