75 dikompaun RM74,500 ketika berhibur di ambang tahun baharu

0
1

PADAH gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menyambut tahun baharu, 75 individu dikenakan kompaun keseluruhan berjumlah RM74,500 di sebuah pusat hiburan di Kota Syahbandar, Melaka awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata semua mereka berusia antara 20 hingga 50 tahun dikenakan tindakan itu ketika pemeriksaan Op Tahun Baharu jam 1.30 pagi tadi.

Menurutnya, operasi dijalankan sepasukan anggota serta pegawai Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Beliau berkata, operasi bermula jam 10 malam hingga 4 pagi itu turut dibantu pegawai penguatkuasaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan pegawai Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

“Dalam operasi di premis terbabit, seramai 222 individu diperiksa membabitkan 133 lelaki dan 89 wanita dan 75 daripadanya didapati tidak mematuhi SOP ditetapkan untuk mengekang penularan Covid-19.

“Antara kesalahan dilakukan adalah tidak mengimbas aplikasi MySejahtera, tiada penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi pagi tadi.

Beliau berkata, seramai 18 wanita warga Vietnam berusia 24 hingga 35 tahun turut ditahan atas kesalahan menyalahguna pas lawatan sosial dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here