JKNPP siasat kes bayi lahir dalam kereta

0
3

SIASATAN dalaman akan dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) berhubung ibu mengandungi bersalin dalam kereta selepas diarah pulang oleh pihak Hospital Seberang Jaya (HSJ) walaupun mempunyai tanda-tanda kelahiran awal pada 27 Disember lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ma’arof Sudin berkata, siasatan itu bagi menambahbaik penyampaian perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, pihak HSJ mengesahkan pesakit berkenaan ada mendapatkan rawatan di hospital terbabit pada hari kejadian.

“Pemeriksaan mendapati pesakit mempunyai tanda kelahiran dalam peringkat awal dan dibenarkan pulang dengan nasihat doktor.

“Pihak jabatan mengadakan perjumpaan bagi mendapatkan maklumat lanjut daripada waris pesakit semalam dan memutuskan satu siasatan dalaman akan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai isu bayi dilahirkan dalam kereta yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, orang awam dan pesakit yang mempunyai sebarang pertanyaan, aduan atau cadangan dipohon berhubung terus dengan pihak hospital yang berkenaan supaya siasatan atau penambahbaikan dapat dilaksanakan segera.

Terdahulu, isu berkenaan dikongsi di media sosial oleh pemilik akaun Facebook, Ramlee Abd Rahman yang membuat hantaran mendakwa seorang Ibu dan bayi bertarung nyawa akibat prosedur operasi standard (SOP) sebuah hospital di Seberang Jaya.

Menurut Ramlee, wanita berkenaan dikatakan pergi ke hospital selepas terdapat tanda bersalin dan mendaftar masuk pada 11 pagi, namun diminta pulang semula pada 3.45 petang.

Beliau mendakwa, wanita itu diperiksa doktor pada 12.30 tengah hari dan terdapat bukaan 2 sentimeter, namun doktor menjangkakan dia masih lambat untuk bersalin.

“Pesakit merayu untuk terus berada di wad atas sebab mereka tinggal di Sungai Ara, Bayan Lepas di sebelah pulau dan sekiranya berlaku kecemasan mengambil masa untuk ke hospital, namun rayuan ditolak.

“Pada 7 malam hari sama, pesakit mengadu kepada suaminya bahawa dia telah turun darah agak banyak sebelum bergegas ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown.

“Dengan keadaan trafik yang sesak, Waze (aplikasi) beri anggaran masa 50 minit untuk ke HPP manakala ke HSJ satu jam 20 minit. Tidak terduga pesakit bersalin di dalam kereta semasa menuju hospital,” menurut Ramlee. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here