BERSATU harus menjadikan 2022 sebagai tahun untuk mempamerkan kebolehan parti itu agar menjadi alternatif yang jelas dipilih oleh rakyat, kata Ketua Penerangannya Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Menurutnya, proses itu mestilah bermula dengan penyusunan saf dan pembaikan kualiti kerja parti.
“Ketersusunan dalam berorganisasi di semua peringkat parti mesti menjadi sama hebat dengan semangat yang memacu kerja kita dalam Bersatu sejak lima tahun lalu.
“Tak kira sesuci mana sekalipun mesej yang kita bawa. Tak kira seikhlas mana sekali pun niat perjuangan kita.
“Jika kita tidak mengatur organisasi menjadi seumpama bangunan yang tersusun rapi, maka biasanya yang menanti adalah kekalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Saiful berkata, tahun 2022 bakal menyaksikan ujian getir untuk membuktikan kekuatan Bersatu
“Masa untuk ujian sebenar semakin hampir. Hari ini sudah masuk tahun 2022.
“Jika pengukuhan organisasi setempat belum dimulakan, hari inilah sepatutnya kita bermula,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Saiful menegaskan, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjaya membawa keluar rakyat Malaysia daripada krisis Covid-19.
“Alhamdulillah, berkat kecekalan rakyat Malaysia menghadapi Covid-19, dan hasil usaha gigih semua frontliners kita, Malaysia sudah mula bergerak keluar daripada krisis Covid-19.
“Ternyata, Pelan Pemulihan Negara yang diilhamkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuahkan hasil.
“Kita turut mendoakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi kekuatan untuk meneruskan legasi memacu Malaysia ke arah yang berdaya saing dan makmur,” katanya. – Malaysiapost

