KERAJAAN memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata perhimpunan berskala besar melibatkan jemaah dari pelbagai negara di Arab Saudi mendedahkan jemaah Malaysia kepada risiko jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron.
Katanya, situasi itu menyukarkan para jemaah untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) umrah yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.
Menurutnya, keputusan penangguhan sementara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Khas Kuartet yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
“Hasil mesyuarat telah diangkat kepada persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan bersetuju menangguhkan sementara perjalanan umrah bermula 8 Januari ini.
“Penilaian risiko situasi Covid-19 varian Omicron di dalam dan luar negara akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – Malaysiapost

