Pukul lelaki hingga mati, 3 suspek ditahan

0
2
Polis

TIGA lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Kesemua suspek berusia 28 hingga 33 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Rabu dan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, polis menerima maklumat seorang lelaki tempatan ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri dalam keadaan kepala berdarah di Jalan Ampang, jam 1.03 pagi Rabu lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu sudah meninggal dunia dan siasatan awal yang dijalankan di tempat kejadian, terdapat saksi melihat mangsa dipukul oleh tiga lelaki tempatan pada jam 6 petang, Selasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan dan risikan yang dijalankan berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 32 tahun antara jam 4 petang hingga 8.30 malam kelmarin kerana dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan itu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 5 Januari 2022.

“Hasil soal siasat ke atas suspek berkenaan membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 33 tahun pada jam 1 tengah hari semalam.

“Lelaki tempatan berkenaan adalah suspek utama dalam kes ini dan permohonan reman ke atas suspek dibuat hari ini,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here