Paras air empangan Tasik Kenyir masih selamat, terkawal – TNB

0
1

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menafikan berlakunya insiden air deras membabitkan empangan hidroelektrik di Stesen-Stesen Janakuasa Kenyir TNB Genco seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

TNB dalam satu kenyataan memakkumkan, video tular yang menunjukkan air deras berkenaan adalah dari Sungai Telemong berdekatan dengan Gawi dan arus sungai terbabit tidak mengalir masuk ke Tasik Kenyir.

“TNB ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan video air deras yang mengatakan lokasi ‘Tasik Kenyir, 30/12/2021’. 

“Sungai di dalam video tersebut adalah Sungai Telemong yang berdekatan dengan Gawi, di mana alirannya tidak masuk ke Tasik Kenyir,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, TNB turut memaklumkan paras air di empangan Tasik Kenyir masih di paras selamat dan terkawal.

“Setakat hari ini 31 Disember 2021, paras air di empangan hidroelektrik di Stesen-Stesen Janakuasa Kenyir TNB Genco berada pada paras terkawal dan di bawah paras limpah.

“Pemantauan secara berterusan terus dijalankan dan maklumat yang berkaitan akan disalurkan kepada pihak berkenaan secara berkala.

“TNB menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan berita palsu kerana boleh mencetuskan suasana cemas serta panik di kalangan masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here