KERAJAAN bersetuju supaya Sarawak dan Kelantan beralih Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa 4 berkuatkuasa 3 Januari 2022.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kerajaan telah bersetuju supaya negeri-negeri berikut beralih Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Isnin, 3 Januari 2022.
“Sarawak beralih dari Fasa 3 ke Fasa 4 dan Kelantan beralih dari Fasa 3 ke Fasa 4,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dengan peralihan fasa bagi kedua-dua negeri berkenaan, bermakna kesemua negeri di Malaysia telah beralih ke Fasa 4 PPN.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak khususnya Kerajaan negeri yang
bertungkus-lumus mengurus situasi pandemik di negeri masing-masing terutama demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN.
“Namun dalam masa yang sama, saya menyeru kepada orang ramai agar tidak berasa terlalu selesa. Covid-19 masih merupakan satu ancaman kepada keselamatan dan kesihatan terutama dengan penularan varian Omicron,” katanya.
Hishammuddin turut mengingatkan semua pihak agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab.
“Pakai pelitup muka, amal penjarakan fizikal, dapatkan dos penggalak sekiranya layak, lakukan ujian pengesanan Covid-19 secara berkala dan amalkan TRIIS dengan sebaik mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, SOP bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 PPN adalah sama dengan sebelum ini dan keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my.
“Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2022 kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Tahun 2021 sarat dengan ujian dan cabaran namun Alhamdulillah kita telah dapat laluinya bersama-sama. Marilah kita doakan, semoga tahun 2022 menjadi tahun yang lebih bermakna buat diri, keluarga dan negara. Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

