400 sukarelawan KPLB turun padang di Bukit Changgang  

0
2

LEBIH 400 sukarelawan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) turun padang di Bukit Changgang, Kuala Langat bagi meneruskan misi gotong-royong dan pembaikan barangan elektrik pasca banjir. 

Menurut KPLB dalam kenyataan hari ini, sebanyak 1,700 daripada 2,200 kediaman di kawasan tersebut terjejas akibat banjir yang melanda baru-baru ini. 

Katanya, empat kampung termasuk Kampung Orang Asli (KOA) turut dijadikan sebagai kampung angkat oleh KPLB. 

“Kampung-kampung yang terlibat (dalam misi berkenaan) adalah Kampung Bukit Changgang, Kampung Labuhan Dagang, Rancangan Tanah Berkelompok Bukit Changgang dan Kampung Orang Asli Paya Rumput,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir mengetuai misi KPLB adalah Ketua Setiausaha, Datuk Ramlan Harun; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Che Murad Sayang Ramjan; Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf. 

Selain itu, KPLB menggerakkan pelajar dalam bidang kejuruteraan elektrik di bawah institusi agensi iaitu Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan MARA untuk melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan pendawaian dan pembaikan barangan elektrik.   

“Misi dilaksanakan KPLB ini selaras saranan Ketua Setiusaha Negara dalam menggerakkan agensi kerajaan serta menjadikan kawasan terjejas banjir sebagai kawasan angkat dalam memastikan pemulihan pasca banjir dapat dilaksanakan segera,” katanya. 

KPLB turut memaklumkan inisiatif tersebut akan dilaksanakan selama seminggu di kawasan Bukit Changgang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here