PEMUDA Umno hari ini membawa bekalan air bersih ke kawasan bencana banjir melibatkan beberapa kampung di Lanchang, Pahang.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beberapa lori yang membekalkan air bersih dibawa bersama dalam menjayakan misi kemanusiaan pasca banjir di kawasan berkenaan.
“Saya dimaklumkan, bekalan air bersih yang masih belum pulih sepenuhnya menyebabkan kesukaran mangsa banjir di sekitar Lanchang membersihkan rumah mereka.

“Air diperlukan untuk membersihkan lumpur tebal yang memenuhi lantai, dinding rumah. Jadi Pemuda Umno hadir hari ini meringankan beban mereka untuk bersama-sama mencuci sampai bersih rumah mereka,” katanya.
Beliau ditemui selepas selesai membersihkan sebuah rumah penduduk hari ini.
Mengulas mengenai misi bantuan banjir itu, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda Umno menfokuskan untuk membersihkan seberapa banyak rumah yang terjejas akibat banjir di beberapa kampung sekitar Lanchang.
“Hari ini kami dibantu oleh Puteri Umno… Datuk Zahida Zarik Khan (Ketua Puteri) pun ada sekali, dengan kekuatan hampir 150 sukarelawan untuk membantu mangsa banjir di Lanchang ini.

“Kami membahagikan kepada tiga kumpulan dan harap dapat membersihkan seberapa banyak rumah yang berlumpur akibat banjir.
“Tumpuan kami di Kampung Rantau Panjang, Kampung Kenangan dan Kampung Mempatih… membuang sampah, membersih, mencuci rumah yang terjejas sampai bersih, di sini ada masalah bekalan air dan kita bawa air bersama untuk cuci rumah mereka,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap bekalan air bersih dapat segera dipulihkan di kawasan berkenaan.

“Kita faham banjir ini menjejaskannya, namun harap pihak berkuasa dapat memastikan bekalan air bersih ini dipulihkan segera kerana banyak perkara pasca banjir yang nak dilakukan penduduk terhalang.
“Saya harap mangsa banjir bersabar dengan keadaan ini dan saya harap misi kemanusiaan Pemuda Umno ini dapat meringankan beban ditanggung mangsa banjir di sini. Kita bantu apa yang kita boleh bantu,” katanya. – Malaysiapost

