PRESIDENSI Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci semalam mengumumkan pelaksanaan semula pemakaian pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal yang diwajibkan di Masjidil Haram serta Masjid Nabawi, berkuat kuasa jam 7 pagi tadi.
Memetik laporan portal Saudi Gazette, Presidensi dalam kenyataan berkata, ia memutuskan untuk mengenakan semula langkah-langkah penjarakan fizikal dalam kalangan jemaah umrah dengan menjarakkan sejadah dan semasa melakukan tawaf (tawaf mengelilingi Kaabah) bagi menjaga kesihatan dan memastikan keselamatan jemaah.
Sehubungan itu, pihak presidensi menyeru semua pengunjung dan pekerja di dua Masjid Suci untuk mematuhi langkah berjaga-jaga, dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.
Di samping itu, mereka perlu mematuhi masa untuk masuk ke dalam masjid mengikut masa ditetapkan dalam permit umrah dan solat yang dikeluarkan oleh aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna, serta mematuhi arahan pihak berkuasa di Dua Masjid Suci.
Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi turut mengumumkan pelaksanaan semula pemakaian pelitup muka dan mengekalkan langkah penjarakan fizikal di semua kawasan tertutup dan terbuka di negara itu berkuat kuasa hari ini.
Ia merupakan langkah baharu untuk membendung penularan varian coronavirus Omicron yang bermutasi.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga memaklumkan perkara itu menerusi laman sosial Twitter sebentar tadi.
“Saf dijarakkan semula di Al-Haramain disebabkan penularan Omicron,” tulisnya. – Malaysiapost

