Netizen kongsi situasi cuaca di Kelantan

0
2

HUJAN lebat berterusan dilaporkan melanda beberapa kawasan di Kelantan dan menyebabkan air sungai naik sejak pagi tadi.

Berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial termasuk aplikasi TikTok dan Facebook, antara kawasan yang terbabit adalah di Kuala Krai dan Jeli.

Seorang pengguna TikTok dengan akaun bernama mohdadha17 berkongsi rakaman video kejadian kepala air berlaku di Lata Berangin, Kuala Krai kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Video berdurasi 21 saat itu menunjukkan arus sungai yang sangat deras di di pusat rekreasi terkenal itu dan keadaan cuaca semasa ketika itu masih lagi hujan.

Satu lagi video yang tular menunjukkan air sungai naik dan melimpah ke jalan dikatakan juga berlaku di Kuala Krai pada 8.30 pagi tadi dan video berdurasi 30 saat itu dikongsikan di TikTok oleh KD channel.

Sementara itu, turut tular video memaparkan keadaan arus sungai deras yang dikatakan berlaku di Kampung Orang Sungai Rual, Jeli.

Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pagi tadi mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan (bahaya) yang dijangka berlaku di Jeli, Kelantan sehingga esok.

Pada masa sama, amaran hujan lebat berterusan (buruk) dijangka berlaku di Kelantan melibatkan jajahan Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here