Warga MINDEF, ATM dan veteran terkesan banjir terima bantuan tunai

0
2

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) mengumpul sumbangan bantuan banjir berjumlah RM3.7 juta merangkumi wang tunai dan barang keperluan asas menerusi gabungan lima syarikat swasta termasuk syarikat industri pertahanan.

Syarikat yang telah menyalurkan sumbangan dana bantuan banjir kepada MINDEF ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),
Affin Bank, Boustead Group, Pharmaniaga dan Sapura Group.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata sumbangan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meringankan beban anggota dan warga awam MINDEF, selain membantu veteran ATM yang terkesan akibat banjir di beberapa negeri ketika ini.

Menurutnya, ini termasuklah memberikan bantuan wang tunai secara one-off kepada mereka.

“Bantuan ini merupakan tambahan kepada bantuan khas RM1,000 yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini serta bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan negeri masing-masing.

“Bagi pihak MINDEF dan ATM, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua syarikat yang tampil menyumbang bagi bersama-sama membela kebajikan warga MINDEF dan ATM di saat memerlukan.

“Ia selari peringatan saya sebelum ini khususnya kepada syarikat industri pertahanan bahawa kerjasama bersama MINDEF mestilah bersandar kepentingan keselamatan negara serta kebajikan anggota, veteran ATM dan awam MINDEF, bukannya demi keuntungan,” katanya menerusi kenyataan.

Hishammuddin turut berterima kasih kepada LTAT atas keprihatinan untuk menerajui inisiatif pengumpulan dana bantuan banjir ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here