BEKALAN air bersih masih belum pulih di beberapa kampung di Lanchang, Pahang menyebabkan mangsa banjir mengalami kesukaran membersihkan kediaman mereka yang dipenuhi lumpur.
Tinjauan Malaysiapost di Kampung Rantau Panjang di Lanchang hari ini mendapati kerja-kerja mencuci rumah daripada kekotoran lumpur akibat banjir terbantut.
Meskipun ramai sukarelawan datang membantu, namun ketiadaan bekalan air bersih menghalang kerja-kerja pembersihan rumah mangsa di kampung tersebut.

Penduduk Romeli Mat Baki, 68, berkata perkara itu berlarutan sejak banjir surut Jumaat lalu.
“Bekalan air bersih masih belum ada. Jadi kami tak dapat nak bersihkan lumpur dalam rumah kami.
“Lumpur sangat tebal, bau sangat busuk. Macam mana kami nak bersihkan rumah macam ni, harap bekalan air dapat pulih dengan segera,” katanya.
Menurut Romeli, banjir yang berlaku pada 19 Disember lalu menenggelamkan hampir keseluruhan kampung berkenaan.

“Sebelum ini pernah banjir, tapi tak adalah macam baru-baru ni. Rumah yang sebelum ni tidak pernah banjir pun kena sekali. Kali ini air naik sehingga paras leher saya. Kalau dulu setakat buku lali saja dan tak semua rumah kena.
“Memang tak sangka banjir kali ni sangat dahsyat. Ada lebih 50 rumah di kampung ini ditenggelami banjir,” katanya.
Selain Kampung Rantau Panjang, kampung yang belum pulih bekalan air bersih ialah Kampung Paya Siput, Kampung Kenangan dan kawasan sekitarnya.
Manakala tekanan air amat rendah di pekan Lanchang. – Malaysiapost

