Banjir gelombang kedua: 3,000 anggota, aset ATM sedia dikerah ke 86 lokasi

0
2

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) sedia mengaturgerak hampir 3,000 pegawai dan anggotanya serta aset ke 86 lokasi seluruh negara bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi berkaitan bagi berdepan gelombang kedua banjir.

Aset yang akan digerakkan termasuk enam unit trak 7 tan, 160 unit trak 3 tan, 129 unit bot serta 109 unit enjin bot.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ATM dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengikuti secara rapat dan memandang serius laporan Jabatan Meteorologi berhubung kemungkinan hujan berterusan sehingga 6 Januari ini yang berupaya menyebabkan gelombang kedua banjir di beberapa negeri.

Mengikut Jabatan Meteorologi, negeri-negeri tersebut termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, Hishammuddin memaklumkan beliau telah mengarahkan Panglima Angkatan Tentera serta Panglima-Panglima Perkhidmatan untuk memastikan kesiapsiagaan anggota ATM terutama di negeri-negeri berkenaan berada pada tahap tertinggi.

“Ia penting demi memastikan aturgerak anggota dan aset dapat dilaksanakan bila-bila masa sekiranya diperlukan sekali gus membolehkan operasi menyelamat mangsa banjir digerakkan pada masa sepatutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata setakat ini ATM telah melaksanakan beberapa pendekatan antaranya 1 Batalion sentiasa diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga di setiap negeri untuk diaturgerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan.

Selain itu katanya, ATM mengaturgerak pegawai bertanggungjawab ke semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan Daerah.

“Pada masa sama ATM meletakkan pasukan perubatan ATM dalam keadaan sedia bagi melaksanakan bantuan perubatan dan kawalan pencegahan jangkitan Covid-19 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS); merancang koordinasi bantuan pesawat udara ATM.

“Memastikan hospital dan poliklinik ATM sentiasa dalam keadaan siap siaga; menambah bilangan anggota bagi operasi menghantar barang keperluan serta makanan ke PPS serta kawasan terputus hubungan jalan darat serta memasak di PPS,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here