MESKIPUN harganya lebih mahal berbanding dadah jenis lain khususnya ganja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan permintaan terhadap dadah sintetik termasuk syabu menunjukkan trend peningkatan di Malaysia.
Ia selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) merekodkan rampasan sebanyak 27,050.07 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah sepanjang Januari hingga November lalu, yang mana 7,919.75 kg adalah syabu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata turut menunjukkan rampasan tertinggi ialah Ephedrine dan bahan kimia membuat dadah jenis syabu apabila sebanyak 8,734.5 kg dirampas.
Menurutnya, rampasan ganja pula menunjukkan penurunan 23 peratus iaitu 3,232.08 kg.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 2,140.52 kg heroin turut dirampas diikuti erimin 5 (2,028.45 kg), pil captogon (650 kg), ketamin (465.11 kg), pil yaba (343.80 kg) dan pil ekstasi (259.71 kg) dan kafien (283.41 kg).
“Rampasan dadah ini dilakukan selepas kita menahan 119,218 individu termasuk kingpin yang aktif dalam aktiviti pengedaran dadah,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Beliau memberitahu demikian dalam sidang media kejayaan JSJN di Pulapol, Kuala Lumpur hari ini.
Dalam tempoh sama, Razarudin berkata sebanyak 19 makmal dadah dibongkarkan di seluruh negara iaitu enam di Pulau Pinang, empat di Selangor serta masing-masing tiga di Kuala Lumpur dan Johor, dua di Perak serta satu di Kedah.
“Kesemua makmal ini mampu memproses 1.12 tan dadah jenis ekstasi, syabu dan heroin dengan keuntungan bersih bernilai RM43.5 juta,” katanya. – Malaysiapost

