Banjir: Klang jadi kawasan angkat MOTAC

0
4

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menggerakkan misi bantuan pasca banjir ke daerah Klang yang dijadikan kawasan angkat bagi membantu mempercepat proses pembersihan pasca banjir.

MOTAC mengambil tanggungjawab dengan menggerakkan misi pasca banjir ke kawasan Taman Sri Muda yang menjadi antara kawasan paling terjejas teruk semasa bencana tempoh hari.

Menurut Ketua Setiausaha (KSU) MOTAC, Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat, seramai 150 kakitangan serta agensi di bawahnya terlibat sebagai sukarelawan untuk misi bantuan khas kali ini.

Katanya, ia termasuk pasukan Voluntourism dalam kalangan penggiat industri di bawah MOTAC.

“Pasukan sukarelawan yang menyertai misi tersebut telah membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir yang terjejas teruk akibat kesan lumpur tebal.

“Sebelum ini Kumpulan Misi Bantuan MOTAC beberapa kali ke kawasan ini untuk misi bantuan pasca banjir. Namun begitu, ini misi pertama MOTAC setelah kawasan ini dijadikan kawasan angkat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Zari berkata MOTAC dengan bantuan Pejabat Tanah dan Daerah Klang serta Majlis Bandaraya Shah Alam sedang mengumpul maklumat berkenaan jumlah rumah dan keluarga yang terlibat di kawasan angkat itu yang masih memerlukan bantuan sukarelawan.

“Ia bagi kerja-kerja pembersihan serta merancang misi pasca banjir seterusnya,” katanya lagi.

Sementara itu beliau memaklumkan MOTAC melalui jabatan dan agensi serta penggiat industri turut menggerakkan misi bantuan pasca banjir ke lokasi-lokasi lain yang terjejas teruk di Selangor dan Pahang.

Setakat semalam, sekurang-kurangnya 30 Misi Pasca Banjir telah dilaksanakan MOTAC melibatkan 1,000 sukarelawan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here