SUDAH tiba masanya bagi sektor-sektor yang mencemarkan udara hingga menyebabkan perubahan iklim menyumbang secara terus kepada mangsa bencana melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bencana Negara (KWABBN).
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata perkara itu boleh dilaksanakan dengan penyaluran secara tetap ke tabung berkenaan melalui kutipan cukai karbon yang kerajaan berhasrat memperkenalkannya.
Menurutnya, sektor seperti industri pembuatan, industri gas dan minyak, industri perumahan, sektor pembalakan dan selainnya wajar menyumbang kepada mangsa-mangsa bencana seperti bencana banjir.
“Melihat kerajaan pusat berhasrat untuk memperkenalkan cukai karbon seperti negara-negara Singapura dan Indonesia dalam usaha Malaysia menjadi negara neutral karbon.
“Saya saran peratusan yang tetap daripada kutipan cukai karbon ini disalurkan ke tabung amanah bencana ini.
“Sudah tiba masa sektor-sektor yang mencemarkan udara atau menyebabkan perubahan iklim menyumbang secara terus kepada mangsa-mangsa banjir sekiranya mereka tidak mengurangkan kesan pada perubahan iklim,” katanya di Facebook, hari ini.
Najib berkata, tabung KWABBN diwujudkan pada 2016 di bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 semasa beliau menjadi Perdana Menteri bertujuan memberi bantuan kepada mangsa bencana yang berlaku di dalam atau di luar negara.
“Ia juga bertujuan membiayai aktiviti, program, projek, kos operasi atau perolehan serta memberi bantuan kepada Kerajaan negeri, jabatan atau agensi yang tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi.
“Tabung ini dikendali oleh NADMA sejak ditubuh. Sebelum ini, kerajaan tidak ada peruntukan khas bagi bantuan banjir dan segala bantuan adalah ad-hoc,” katanya.
Beliau berpendapat, bagi memberi bantuan yang lebih besar kepada mangsa bencana dan mangsa banjir, terdapat keperluan untuk sebuah tabung amanah khas yang dapat mengumpulkan dana yang lebih besar.
“Dua minggu lepas, kerajaan persekutuan baru sahaja menyalurkan RM50 juta pada dana ini.
“Orang ramai juga boleh menyumbang kepada tabung ini melalui Tabung Bantuan Bencana Negara di akaun Bank Muamalat 1601-0001138-71-4,” katanya. – Malaysiapost

