PELAKON Anzalna dipilih menggantikan legasi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin sebagai wajah kepada koleksi terbaharu jenama tudung, Loveta.
Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir, 33, di Instagram.
Anzalna turut memuat naik video sesi penggambaran koleksi terbaru tudung berkenaan dan dilihat tidak dapat menahan air matanya kerana merindui Allahyarham Siti Sarah.
Beliau turut mengakui termimpikan arwah susulan sesi penggambaran itu.
“Mungkin kerana terlalu banyak kali ‘repeat’ tengok video ‘shooting’ dengan alunan lagu dari arwah..sampai termimpi arwah..Al-Fatihah..tetapi sekejap sahaja dia muncul.
“Satu tugas yang agak besar, tetapi Anzalna percaya hari ini tolong orang, semoga di waktu Anzalna susah ada yang datang tolong Anzalna. Insya-Allah,” katanya.
Menurut Anzalna, sejak bertudung dia banyak menerima tawaran dari berbagai jenama tudung dari dalam dan luar negara, namun Loveta menjadi pilihannya.
“Selain dari material/design tudung yang mudah disarung, Anzalna tertarik untuk menjadi sebahagian dari Loveta kerana ada permintaan terakhir dari arwah Siti Sarah iaitu meneruskan legasi Loveta.
“Dalam masa yang sama dapat menolong team Loveta mencari rezeki untuk keluarga,” katanya.
Beliau mengakui ketika menerima tawaran itu berasa berbelah bahagi sebab tudung jenama itu sudah sinonim dengan nama arwah dan bersetuju selepas bertanya pendapat suaminya Hanif Zaki.
“Anyway ini shoot yang sangat menyentuh hati. Kepada team Loveta, minta maaf sekiranya Anzalna tidak dapat memberikan yang terbaik sepanjang shooting disebabkan terlalu emotional.
“Anzalna sangat rindukan arwah. Al- fatihah buat arwah,” katanya. – Malaysiapost

