LEBIH 6 tan al-Quran rosak akibat banjir besar yang melanda negara sejak 18 Disember lalu, telah dikumpulkan di Pusat Pelupusan al-Quran Darul Kalam untuk tujuan pelupusan.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memaklumkan al-Quran yang rosak berkenaan diterima daripada pelbagai pihak untuk dilupuskan di pusat pelupusan seliaannya itu.
“Alhamdulillah. Sehingga hari ini, Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam seliaan JAWI telah menerima sejumlah 6,113 kilogram al-Quran yang rosak akibat banjir untuk dilupuskan.

“Ia diterima daripada individu perseorangan, badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi lain seperti Sekolah Rendah Agama yang terkesan akibat banjir,” menurut JAWI dalam satu hantaran di Facebook rasminya.
Menurut agensi berkenaan, sukarelawan JAWI turut membantu kerja-kerja penyusunan dan pengeringan al-Quran berkenaan sebelum dilupuskan.

“Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam terletak di Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Kuala Lumpur dan boleh dihubungi di talian 03-22749333 sambungan 1410,” katanya. – Malaysiapost


