JEMAAH Masjid Al Irfan Derga, Alor Setar, Kedah, membuat laporan polis susulan dakwaan sebuah kubur di tanah perkuburan berhampiran mendap dan mengeluarkan cecair merah yang didakwa darah.
Seorang ahli kariah masjid itu, Alias Ishak, 40-an, berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, malam tadi selepas video dan gambar mengenai kubur itu tular di media sosial.
Menurutnya, mendapan yang berlaku di kubur itu juga sudah ditimbus semula oleh jemaah masjid.
“Saya tidak tahu bila kejadian itu berlaku cuma tengok di WhatsApp apabila video tersebar dan berharap orang ramai janganlah berkumpul di situ lagi.
“Lagipun Kota Setar masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dan dimaklumkan jemaah masjid juga sudah membuat laporan polis,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.
Alias turut berharap kisah kubur yang didakwa orang ramai sebagai ‘berdarah’ tidak ditularkan lagi kerana tidak mahu menimbulkan fitnah dan aib kepada jenazah serta warisnya.
Beliau berkata, jenazah itu dikebumikan kira-kira dua minggu lalu dan dia difahamkan jemaah masjid sudah melawat kubur berkenaan serta mengesan cecair merah di atasnya tetapi tidak pasti cecair apa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Noor memaklumkan siasatan lanjut berhubung itu sedang dilakukan.
“Kita belum terima maklumat jelas, siasatan sedang dibuat,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kubur mendap dan dikatakan mengeluarkan cecair merah seakan darah di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Irfan Derga.
Hantaran tersebut menimbulkan panik orang ramai kerana video itu telah dikongsi ramai pihak di laman Facebook dan Twitter semalam. -Malaysiapost

