
SEBANYAK 14 daerah di Kelantan, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor masih terjejas dengan banjir setakat hari ini.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan seramai 9,414 orang mangsa daripada 2,708 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan masih berlindung di 93 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), setakat tengah hari tadi.
“Ia menjadikan jumlah kumulatif mangsa terkesan bencana banjir di seluruh negara adalah seramai 116,273 orang daripada 31,949 KIR.
“Sehingga jam 2 petang tadi, operasi banjir seluruh negara melibatkan keanggotaan 40,813 orang anggota agensi responder menggunakan sejumlah 3,419 gabungan aset pelbagai agensi.
“Bagi edaran bekalan makanan pula, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat 465,092 pek makanan berbungkus yang disediakan sebanyak tiga kali sehari termasuk keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang terkesan banjir,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, NADMA berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) turut melaporkan 121 insiden tanah runtuh berlaku di seluruh negara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut 2021/2022 sehingga ke hari ini.
“Pihak JMG telah dan sedang mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
“JMG dan JKR diminta untuk menyelaras pelaporan tanah runtuh supaya ia lebih menyeluruh dan turut melibatkan kawasan cerun di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan,” katanya. – Malaysiapost
