Negeri Pantai Timur, Johor dijangka banjir mulai Jumaat

0
2

JABATAN Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir akan berlaku di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, bermula Jumaat dan Sabtu ini.

Ia susulan amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Menurut kenyataan JPS, banjir dijangka berlaku di Kelantan bermula jam 8 malam pada 31 Disember ini di Lembangan Sungai Kelantan, membabitkan daerah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Machang.

“Banjir juga dijangka berlaku di Lembangan Sungai Golok membabitkan daerah Tanah Merah (Jenob) dan Pasir Mas (Rantau Panjang) serta kawasan sekitar berisiko banjir.

“Pada masa sama, banjir dijangka berlaku di Terengganu membabitkan Lembangan Sungai Besut di daerah Besut dan Lembangan Sungai Terengganu dan kawasan sekitar yang berisiko banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, JPS menjangkakan banjir di Pahang akan bermula jam 8 pagi pada 1 Januari 2022.

“Ia membabitkan Lembangan Sungai Pahang di daerah Maran, Temerloh dan Jerantut, selain di Lembangan Sungai Kuantan membabitkan daerah Kuantan (Sungai Lembing); Lembangan Sungai Rompin membabitkan daerah Rompin serta kawasan sekitar berisiko banjir.

Selain itu, banjir turut dijangka berlaku pada masa yang sama di Lembangan Sungai Mersing membabitkan daerah Mersing serta kawasan sekitar berisiko banjir,” katanya.

Sehubungan itu JPS meminta semua penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan yang dijangka banjir supaya berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

“Penduduk di empat negeri terbabit yang ingin mendapatkan maklumat dan amaran semasa boleh melalui sesawang publicinfobanjir.water.gov.my; Facebook, PublicInfoBanjir dan Twitter@JPS_Infobanjir,” katanya.

Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran tahap Waspada (kuning) iaitu hujan berterusan akan dialami beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah, sepanjang minggu ini.

Dalam hantaran terbaharu menerusi Facebook, MetMalaysia memaklumkan, hampir keseluruhan daerah di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai akan mengalami cuaca terbabit. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here