MCA gembira dan menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang memutuskan bahawa sekolah vernakular tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ini bermakna, kata Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong, setiap warganegara Malaysia dapat terus menikmati hak dalam pendidikan di sekolah vernakular tanpa ragu-ragu lagi.
“MCA akan terus memelihara kepelbagaian di negara ini bagi memastikan pendidikan vernakular tidak terancam,” katanya menerusi kenyataan ringkas di Facebooknya.
Terdahulu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menolak saman oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).
Dalam penghakimannya, Mohd Nazlan berkata penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (hak kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan), Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 12 (hak berkenaan pendidikan) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, terdapat lebih daripada 1,800 sekolah vernakular di seluruh negara, dengan kira-kira setengah juta pelajar terdiri daripada komposisi kaum yang berbeza. – Malaysiapost

