Imbauan 2021: Pemergian Siti Sarah beri impak besar, artis nikah hanya majlis sederhana

0
1

Nurul Huda Abhar

MENYINGKAP kembali helaian kisah berkisar dalam industri seni tempatan sepanjang tahun ini, terlalu banyak memori yang masih segar dan disebut-sebut biarpun tahun 2021 hampir melabuhkan tirainya.

Izinkan penulis coretkan beberapa ‘kehilangan’ insan seni yang sangat memberi kesan di hati rakyat Malaysia, terutama pemergian bidadari pelawak Shuib, Siti Sarah Raisuddin akibat virus Covid-19, selepas melahirkan anak keempat secara pembedahan.

Seluruh negara seakan-akan bersedih dengan pemergian pelantun lagu Kesetiaan itu, yang meninggal dunia selepas ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM pada 9 Ogos lalu.

Pelakon drama veteran yang terkenal dengan jolokan ‘Makcik Petir, atau Noryati Taib juga meninggal dunia berikutan kesihatannya semakin merosot setelah disahkan positif Covid-19 dan kemudian sembuh selepas dirawat di Hospital Permai, Pasir Gudang.

Noryati yang menghidap penyakit kencing manis terkenal dalam siri ‘Sindarela’ dan ‘SyurgaMu Ramadan’ meninggal dunia pada 7 April lalu akibat sakit tua di kediamannya.

Seterusnya, kehilangan sutradara tersohor, Mamat Khalid turut menggemparkan negara selepas dilaporkan rebah di kafe miliknya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River.

Allahyarham Mamat Khalid

Karya-karyanya seperti ‘Zombi Kampung Pisang’ dan ‘Hantu Kak Limah’ pasti dirindu ramai kerana nukilannya yang membawa isu-isu rakyat memang dekat di hati penonton.

Lebih menyedihkan mengimbau kisah pelakon dan anak kepada Allahyarham seniwati Azean Irdawaty, Benjy Ibrahim yang meninggal dunia pada 11 Julai lalu akibat sesak nafas berpunca daripada penyakit asma kronik.

Benjy menjalani hukuman di Penjara Tanjung Gusta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Medan kerana memiliki dadah jenis methaphetamine seberat 4.5 gram dan dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun 8 bulan.

Pelakon hebat itu dikejarkan ke Hospital Royal Prima Medan, Indonesia tetapi tidak dapat diselamatkan dan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 pagi.

Beralih pula ke kisah artis mendirikan rumah tangga sepanjang tahun ini, dan sedikit kelainan apabila tiada majlis gilang gemilang atau jemputan dalam jumlah ramai menjadi liputan media berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan sebarang majlis diadakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hati para lelaki di luar sana dikatakan ‘hancur’ selepas pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan, 28, atau Lizzy mengumumkan telah berkahwin dengan Siew Jim, 30, seorang ahli perniagaan pada Mac lalu.

Penyanyi lagu Knock Knock itu mengesahkan dirinya sudah bergelar isteri selepas gambar perkahwinannya di sebuah gereja di Gombak tersebar di media sosial.

Perkahwinan selebriti popular, Neelofa, 32, dan pendakwah bebas, Haris Ismail, 26, pada 27 Mac lalu turut mendapat liputan berikutan pelakon itu mengunci mulut dan tidak memaklumkan sebarang tarikh khusus berkenaan pernikahannya.

Pasangan itu turut dilanda kontroversi atas beberapa kesalahan tidak mematuhi SOP, termasuk melakukan pergerakan rentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan dipercayai semata-mata untuk membeli karpet.

Jika perkahwinan Lizzy buat lelaki patah hati, kini giliran Remy Ishak, 39, pula yang disebut-sebut sebagai Hero Malaya merobek hati para gadis di luar sana selepas selamat bernikah dengan pasangannya, Roszaliza Yusof di Masjid Negara pada 21 Ogos lalu.

Remy ishak

Sepanjang tahun ini juga, pembaca disajikan dengan sambungan episod kecurangan pelawak dan pengacara, Shuk Sahar yang masih tidak lepas dengan kontroversi melibatkan rumah tangganya dikatakan goyah atas kehadiran insan ketiga.

Shuk Sahar

Rentetan gosip itu, Shuk diberhentikan tugas sebagai penyampai radio Hot FM, atas masalah peribadi selepas isterinya, Rossalennah membuat pendedahan berani mengenai kecurangan dilakukan pelawak itu.

Tidak dilupakan,

sejak akhir-akhir ini dapat dilihat banyak perkongsian di media sosial artis-artis yang turut sama mengikuti sesi dakwah bersama Ustaz Ebit Lew.

Nama-nama seperti Norman Hakim, Zul Ariffin, Harris Alif, Alif Aziz dan Azlee Senario, turut sama menyertai pendakwah terkenal itu ke majlis-majlis ilmu dan misi bantuan.

Selain itu, golongan pengggiat seni dilihat turut sama membantu mangsa yang terjejas berikutan bencana banjir yang melanda negara di beberapa negeri sejak minggu lalu.

Perkongsian di laman sosial pelakon Sharifah Shahirah, dilihat bertungkus lumut mengumpul barangan sumbangan untuk diagihkan ke kawasan terjejas di Pahang, dan pelakon Rosyam Nor bersama rakan-rakan turun padang membantu membersihkan rumah-rumah dinaiki air di Lembah Klang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here