Agong titah rakyat bersedia hadapi gelombang kedua banjir

0
2

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah menasihati rakyat supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku bencana banjir besar akibat hujan berterusan.

Titah nasihat itu susulan amaran tahap waspada (kuning) iaitu hujan berterusan yang akan dialami beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini hingga 2 Januari 2022 seperti dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, kelmarin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Baginda turut menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko tinggi dilanda banjir, agar peka terhadap ramalan dan amaran yang dikeluarkan serta sentiasa berwaspada sekiranya paras air naik secara mendadak akibat hujan lebat berterusan.

“Ini termasuklah mematuhi semua arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menzahirkan keprihatinan tinggi Baginda terhadap kemaslhatan rakyat, Baginda menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana-bencana banjir sebelum ini untuk membaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi kemungkinan khususnya segala urusan pasca banjir.

“Sehubungan itu, Baginda menasihati agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak berkuasa tempatan supaya tidak leka dan proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan, koordinasi dan penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di tahap terbaik.

“Baginda menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa menerusi persediaan awal dengan disusuli tindakan terancang, operasi menyelamat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya di kawasan berkepadatan tinggi dan juga pedalaman dapat dilaksana dengan pantas dan berkesan,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong juga mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here