Warga PTPTN terkesan banjir akan dibantu – Wan Saiful

0
2

WARGA Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda negara sejak 18 Disember lalu akan dibantu termasuk bantuan kewangan.

Pengerusinya Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata setakat ini beliau dimaklumkan bahawa seramai 39 warga PTPTN yang terjejas akibat banjir.

Menurutnya, susulan itu beliau telah meminta pihak pengurusan atasan agensi berkenaan memastikan warganya yang ditimpa bencana dapat dibantu dengan segera.

“Ada yang air naik sedikit sahaja, ada yang rumahnya tenggelam terus. Ada juga yang mengalami kerosakan kenderaan.

“Warga PTPTN adalah tulang belakang agensi ini dan kita mesti menjaga kebajikan semua pegawai, tanpa mengurangkan khidmat kepada masyarakat yang lebih luas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, sebagai langkah awal, pihaknya mengarahkan agar pengurusan atasan terus mengumpul maklumat jika ada warga PTPTN yang terkesan oleh bencana banjir dan tahap kerosakan yang mereka alami.

“Skuad PTPTN Prihatin mesti bergerak menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada warga PTPTN yang terkesan oleh banjir dan membantu membersihkan rumah mereka serta rumah jiran-jiran berdekatan semampu yang boleh.

“Bantuan-bantuan lain, termasuk bantuan kewangan, harus diusahakan untuk membantu sedikit sebanyak warga PTPTN yang terkesan membina semula kehidupan,” katanya.

Wan Saiful berkata, semua bantuan itu perlu dilakukan tanpa mengurangkan komitmen Skuad PTPTN Prihatin untuk meneruskan misi bantuan banjir untuk rakyat secara amnya.

“Semoga usaha kita membantu setakat yang mampu akan diberkati dan dirahmati oleh Allah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here